Jumaat, 28 Januari 2022 | 3:27pm
Tangkap layar kejadian pergaduhan membabitkan dua kumpulan lelaki di kawasan Kubota Square, dekat sini, tengah malam tadi. - Foto NSTP/Tular
Tangkap layar kejadian pergaduhan membabitkan dua kumpulan lelaki di kawasan Kubota Square, dekat sini, tengah malam tadi. - Foto NSTP/Tular

Gaduh guna pedang di Tawau

TAWAU: Satu rakaman video memaparkan kejadian pergaduhan menggunakan senjata membabitkan dua kumpulan lelaki dikesan tular di media sosial hari ini.

Video berdurasi kira-kira 30 saat itu menunjukkan dua kumpulan membabitkan lebih sepuluh lelaki bergaduh dengan saling bertumbuk antara satu sama lain.

Malah, turut kelihatan ada di antara mereka yang menggunakan senjata tajam dipercayai pedang samurai sehingga ada yang terpaksa bertindak melarikan diri.

Kejadian dipercayai dirakam dari tingkat satu sebuah bangunan komersil di kawasan Kubota Square, di sini oleh individu lain yang berada di kawasan berkenaan kira-kira 12.30 tengah malam tadi.

Menerusi rakaman awal video itu, pergaduhan tercetus apabila dua individu kelihatan saling 'berperang mulut' sebelum seorang daripada mereka secara tiba-tiba melepaskan tumbukan.

Keadaan bertukar ganas apabila kumpulan lelaki terbabit dilihat menetak serta melibas parang selain saling membelasah antara satu sama lain sehingga berlarutan ke premis berhampiran.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan motif atau punca pergaduhan terbabit berlaku.

Video pergaduhan itu mula dimuat naik di beberapa akaun Facebook sehingga mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang meminta pihak polis mengesan suspek atau kumpulan samseng terbabit untuk diambil tindakan undang-udang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi berkata, setakat pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.

"Setakat ini belum ada individu atau pihak yang bertanggungjawab tampil membuat laporan polis," katanya.

Berita Harian X