Khamis, 27 Januari 2022 | 4:07pm
 Ismahalil Hamzah
Ismahalil Hamzah

Kes edar dadah Ismahalil dipindah ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini, hari ini memerintahkan kes penyampai radio, Ismahalil Hamzah yang dituduh mengedar dadah jenis kanabis seberat 409 gram pada tahun lalu, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Majistret Wong Chai Sia mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Phulrani Kaur untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, tarikh sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi belum ditetapkan.

Sementara itu, peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili Ismahalil ketika ditemui media selepas prosiding berkata, pihaknya menerima laporan kimia daripada Jabatan Kimia yang mendapati berat dadah itu berkurangan daripada 409 gram kepada 374.6 gram.

"Bagaimanapun, kes itu masih mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Ismahalil, 49, didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 409 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, di sini, pada jam 5.35 petang 27 Ogos 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(A) ADB 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.

Turut hadir pada prosiding itu, isteri Ismahalil, Nor Haslinda Abdul Manaf, 49, dan anak lelaki mereka yang berusia 13 tahun. – BERNAMA

Berita Harian X