X
Rabu, 26 Januari 2022 | 5:22pm
Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhammad, menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jabatan Penjara Malaysia Tahun 2021 Zon Sarawak di Auditorium Sri Sarawak, Pejabat Pengarah Penjara Negeri Sarawak, KM 23, Jalan Puncak Borneo, Kuching. NSTP/NADIM BOKHARI
Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhammad, menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jabatan Penjara Malaysia Tahun 2021 Zon Sarawak di Auditorium Sri Sarawak, Pejabat Pengarah Penjara Negeri Sarawak, KM 23, Jalan Puncak Borneo, Kuching. NSTP/NADIM BOKHARI

Teliti pendekatan Penjara Sarawak kurangkan kesesakan tahanan

KUCHING: Jabatan Penjara Malaysia akan menjadikan pendekatan sistem keadilan jenayah yang dilaksanakan di Penjara Sarawak sebagai panduan bagi mengurangkan kesesakan tahanan di penjara seluruh negara.

Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhamad, berkata walaupun masalah kesesakan penjara di negara ini kini terkawal, pihaknya sentiasa mencari kaedah untuk menambah baik termasuk menjadikan kejayaan Penjara Sarawak sebagai contoh bagi mengatasi masalah kesesakan.

Justeru, katanya, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengkaji sistem keadilan jenayah yang dipraktikkan di Penjara Sarawak yang mampu mengawal kesesakan tahanan dalam sepanjang tahun lalu.

"Masalah kesesakan penjara seluruh negara kini terkawal dengan hanya lapan peratus melebihi kapasiti tahun lalu berbanding 32 peratus pada tahun sebelumnya.

"Namun di Sarawak, hanya dua daripada enam penjara di negeri ini merekodkan sedikit kesesakan iaitu Penjara Miri serta Penjara Puncak Borneo dan pendekatan yang dilaksanakan di Sarawak itulah yang akan kita teliti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jabatan Penjara Malaysia Tahun 2021 Zon Sarawak di Penjara Puncak Borneo, di sini, hari ini.

Seramai 21 individu menerima pingat pada majlis berkenaan antaranya Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Dr Sabariah Putit; Pengarah Kanan Dasar Kepenjaraan, Supri Hashim; Pengarah Bahagian Pengurusan Banduan Ajidin Salleh; Pengarah Bahagian Tahanan Radikal dan Berisiko Tinggi Zaidi Hamid serta Pengarah Penjara Sarawak, Mohamad Rosidek Musa.

Nordin berkata, empat penjara di Sarawak merekodkan jumlah di bawah kapasiti, sekali gus menjadikan Penjara Sarawak secara keseluruhannya mencapai pengurangan banduan sebanyak sembilan peratus daripada kapasiti ditetapkan.

Empat penjara terbabit ialah Penjara Sri Aman, Penjara Sibu, Penjara Bintulu dan Penjara Limbang.

"Mengatasi masalah kesesakan tahanan amat penting dalam soal untuk meningkatkan hak asasi manusia," katanya.

Sementara itu, Nordin berkata, Penjara Sarawak turut merekodkan pencapaian yang baik dari segi kadar jenayah berulang dilakukan bekas banduan iaitu bawah 0.3 peratus berbanding purata kadar 13.86 peratus di Jabatan Penjara.

"Tidak sampai setengah peratus kadar jenayah berulang dilaporkan di Penjara Sarawak. Ini juga memerlukan kajian yang terperinci, apakah ia disebabkan oleh sistem, proses, keutamaan yang berbeza telah dipraktikkan di sini atau kebudayaan, cara hidup, peradaban dalam masyarakat Sarawak yang boleh kita contohi.

"Apabila kadar jenayah berulang bawah 0.3 peratus, bermakna daripada 300 banduan yang dibebaskan, hanya seorang yang masuk semula ke penjara," katanya.

Berita Harian X