Sabtu, 22 Januari 2022 | 3:18pm
Sebahagian 100 paralatan komputer untuk melombong bitcoin yang dirampas - Foto NSTP/polis
Sebahagian 100 paralatan komputer untuk melombong bitcoin yang dirampas - Foto NSTP/polis

100 mesin melombong bitcoin dirampas

GEORGETOWN: Polis merampas 100 mesin melombong bitcoin dan kelengkapan komputer dalam serbuan di sebuah premis di Air Itam, di sini, Sabtu lalu.

Pemeriksaan menerusi Op Letrik TNB (Tenaga Nasional Berhad) itu membabitkan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut dan Special Engagement Against Losses (SEAL) TNB pada jam 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pemeriksaan terhadap rumah kedai tiga tingkat itu mendapati berlaku penyambungan haram dipercayai bagi mencuri elektrik.

Katanya, sebanyak 100 mesin melombong bitcoin bersama kelengkapan komputer sedang beroperasi di dalam premis itu.

"Pasukan SEAL TNB kemudian menahan dua lelaki manakala dua lelaki lagi diberkas polis di sekitar kawasan Air Itam kerana disyaki terbabit dalam kegiatan berkenaan.

"Nilai kerugian dianggarkan sebanyak RM24,000," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Soffian berkata, premis itu menjalankan kegiatan berkenaan sejak 1 Januari lalu.

Katanya, kesemua yang ditahan berusia 27 hingga 36 tahun.

"Semakan mendapati kesemua yang ditahan tidak mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah atau dadah.

"Ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek juga didapati negatif daripada pengambilan bahan terlarang," katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan curi dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat.

Berita Harian X