Khamis, 20 Januari 2022 | 7:25am
Stok bekalan mercun yang diletakkan di sebuah kediaman di Sarikei. - Foto ihsan PPMW 5
Stok bekalan mercun yang diletakkan di sebuah kediaman di Sarikei. - Foto ihsan PPMW 5

Mercun RM254,800 dirampas

SARIKEI: Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Sarikei merampas mercun dianggarkan bernilai RM254,800 di sebuah kediaman di sini semalam.

Komander Pasukan PPMW5 Sarawak, Asisten Komisioner Zulfikar Mohd Ghazali, berkata pasukannya menjalankan serbuan ke atas kediaman terbabit pada jam 6.40 petang hasil maklumat dan risikan.

"Kediaman terbabit dijadikan stor simpanan mercun yang dipercayai untuk diedar di pasaran tempatan," katanya.

Pasukan PPMW5 Sarikei katanya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang juga pemilik kediaman dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan mercun.

Menurutnya, pemilik kediaman gagal mengemukakan dokumen berkaitan pemilikan dan penyimpanan mercun yang sah di sisi undang-undang.

Suspek berserta barangan rampasan kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Berita Harian X