Rabu, 19 Januari 2022 | 2:57pm
Polis menyerbu premis dipercayai dijadikan pusat panggilan oleh sindiket penipuan dalam talian. - Foto ihsan PDRM
Polis menyerbu premis dipercayai dijadikan pusat panggilan oleh sindiket penipuan dalam talian. - Foto ihsan PDRM

Sindiket penipuan dalam talian terbongkar, 10 diberkas

KUALA LUMPUR: Polis menahan 10 individu termasuk sembilan warga China, di dua premis di Jalan Ampang, di sini, kelmarin, kerana disyaki terbabit sindiket penipuan dalam talian.

Lapan lelaki dan dua wanita berusia 22 hingga 35 tahun itu diberkas dalam operasi dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak, berkata dalam serbuan di premis dipercayai dijadikan pusat panggilan itu, polis turut merampas 23 telefon bimbit, sebuah komputer riba dan beberapa dokumen bagi membantu siasatan.

"Hasil siasatan awal mendapati semua tahanan disyaki pekerja sindiket dan beroperasi sejak pertengahan 2020.

"Mereka direman lima hari hingga Jumaat ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mahidisham sekali gus menasihati orang ramai supaya tidak mudah terperdaya, selain membuat semakan sebelum membuat transaksi wang, dan segera menyalurkan maklumat kegiatan itu kepada polis.

Mereka yang ada maklumat berkaitan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur melalui talian 03-2146 0584/0585, CCID Scam Response Center (Pusat Respons Penipuan JSJK) (03-2610 1559/1599), WhatsApp CCID (013-2111 222) atau mana-mana balai polis berdekatan.

Berita Harian X