Selasa, 18 Januari 2022 | 2:31pm
 Foto hiasan
Foto hiasan

Gangguan seksual: Polis terima laporan ADUN

JOHOR BAHRU: Polis Johor mengesahkan menerima laporan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap seorang wanita.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, ketika dihubungi bagaimanapun tidak mendedahkan identiti ADUN terbabit

"Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan," katanya.

Semalam seorang ADUN membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, susulan dakwaan terhadapnya ke atas seorang wanita berusia 26 tahun yang juga Ahli Jawatankuasa Srikandi BERSATU Kota Tinggi.

Terdahulu ADUN Sedili, Rasman Ithnain menerusi kenyataan berkata, pihaknya menafikan dakwaan terbabit, selain memaklumkan ia adalah konspirasi politik dan cubaan mencalarkan reputasinya sebagai seorang wakil rakyat.

"Saya bersedia memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan berjalan demi memastikan keadilan dapat ditegakkan.

"Saya juga sudah berbincang dengan barisan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana individu yang cuba mencemarkan nama serta imej saya," katanya.

Sebelum ini tular laporan polis mengenai gangguan seksual membabitkan seorang wanita di media sosial.

Mangsa mendakwa sudah beberapa kali diganggu secara seksual oleh ADUN terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan berhubung dakwaan salah laku ADUN terbabit terhadap wanita itu di Balai Polis Kota Tinggi kira-kira 11.30 pagi semalam.

Berita Harian X