Selasa, 18 Januari 2022 | 11:27am

Polis minta bantuan saksi dua kemalangan maut

KUALA LUMPUR: Polis memohon saksi awam tampil membantu siasatan kemalangan maut di Kilometer 26.6 Lebuh raya Persekutuan susur Subang dan jalan menghala Lapangan Terbang Subang masing-masing pada Sabtu lalu serta semalam.

Dalam kemalangan Sabtu lalu, lelaki dan wanita warga Indonesia masing-masing berusia 25 serta 37 tahun maut selepas motosikal Yamaha Y100 dinaiki mereka dipercayai dilanggar sebuah kereta Ford Fiesta dari belakang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata siasatan awal nahas semalam pula mendapati lelaki warga Nepal berusia 33 tahun dipercayai dilanggar ketika melintas jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Semua mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohamad Khairil Helmi Mohamad Isa di talian 019-3318339 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Berita Harian X