Selasa, 18 Januari 2022 | 11:12am

OKT mati mengejut dalam lokap

KUALA LUMPUR: Kematian orang kena tahan (OKT) di lokap Balai Polis Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, kelmarin, diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad, berkata laporan bedah siasat mayat mangsa di Hospital Raja Perempuan Zainab 2, Kota Bharu, semalam mendapati kematian berpunca daripada paru-paru berair.

"Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut selepas tiada sebarang kecederaan atau elemen jenayah dikesan.

"Bagaimanapun, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman akan meneruskan siasatan daripada pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kelmarin, JIPS dilaporkan menerima maklumat kematian lelaki berusia 37 tahun itu pada jam 4.35 petang.

Mangsa ditahan dan direman empat hari hingga esok mengikut Seksyen 12 (2) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X