Selasa, 18 Januari 2022 | 10:40am
- Foto hiasan.
- Foto hiasan.

Pengurus rugi RM61,000 ditipu Macau scam

KUANTAN: Seorang pengurus jualan produk minuman rugi RM61,150 diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar pegawai bank.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata lelaki berusia 55 tahun Lorong Seri Teruntum, di sini mulanya menerima panggilan bertanyakan status kad kreditnya sebelum mangsa menjelaskan dia tidak mempunyai kad kredit seperti dinyatakan suspek.

Katanya, mangsa kemudian disambungkan kepada suspek lain kononnya dari Bank Negara Malaysia (BNM) dan diminta memberikan maklumat perbankan dalam talian membabitkan akaun simpanannya, akaun semasa dan akaun kad kredit sebuah bank.

"Selepas mangsa memberikan maklumat itu, dia membuat semakan akaun banknya dan mendapati berkurang sebanyak RM61,150. Mangsa menyedari ditipu dan segera membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang lelaki berusia 27 tahun bertugas sebagai pembantu pusat dialisis juga kerugian RM23,000 selepas diperdaya individu menyamar pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mendakwa nama mangsa digunakan dalam pendaftaran sebuah syarikat yang mempunyai tunggakan hutang RM55,800.

"Suspek mendakwa akaun bank mangsa akan dibekukan dan meminta wang dalam akaun itu dipindahkan ke akaun lain. Mangsa kemudian memindahkan RM11,000 ke dalam akaun sebuah bank dan RM11,000 lagi ke dalam akaun bank berasingan seperti diberikan suspek.

"Dia kemudian membuat semakan baki di dalam akaun bank miliknya dan mendapati ia turut berkurang sebanyak RM1,000. Jumlah kerugian dialami adalah RM23,000," katanya menambah, IPD Kuantan menerima laporan empat kes penipuan Macau Scam semalam yang membabitkan kerugian lebih RM86,421 dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pinjaman atau ugutan yang dilakukan pemanggil tidak dikenali yang kini semakin aktif, selain tidak sekali-kali mendedahkan maklumat akaun bank serta merujuk dahulu dengan polis atau pihak bank terbabit.

Berita Harian X