Selasa, 18 Januari 2022 | 10:20am
Wakil Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan bantuan kecemasan kepada lelaki yang kematian isteri dalam tragedi di Kampung Baru Pasir Penambang, Sabtu lalu. FB LZS
Wakil Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan bantuan kecemasan kepada lelaki yang kematian isteri dalam tragedi di Kampung Baru Pasir Penambang, Sabtu lalu. FB LZS

Zakat Selangor bantu suami wanita dibunuh anak

KUALA SELANGOR: Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan menyalurkan bantuan khairat kematian kepada lelaki yang kehilangan isteri selepas kepala wanita itu dipenggal oleh anak sendiri dalam kejadian di sebuah kampung di sini, Sabtu lalu.

Menerusi status di laman Facebooknya, LZS memaklumkan, agensi itu juga menyerahkan bantuan kecemasan bertujuan meringankan beban suami mangsa yang juga tersenarai dalam golongan asnaf.

"Ketika majlis penyerahan zakat tahun lalu, kami masih ingat keceriaan mereka. Kami mengharapkan pasangan itu selesa serta dapat memulakan kehidupan indah bersama keluarga, namun dadah meranapkan impian dan menyebabkan tragedi," kata kenyataan berkenaan.

LZS berkata, program pencegahan, pendidikan dan pemulihan dadah memerlukan pembabitkan semua lapisan masyarakat dan harus bermula dari peringkat pendidikan awal.

"LZS mendoakan supaya keluarga berkenaan tabah menghadapi ujian ini. Semoga Allah SWT menempatkan arwah isteri beliau di kalangan orang-orang beriman," katanya.

Dalam kejadian Sabtu lalu, suspek berusia 28 tahun dipercayai memenggal kepala ibunya berusia 56 tahun di rumah mereka di Kampung Baru Pasir Penambang, dekat sini. Polis percaya lelaki itu berada di bawah pengaruh dadah dan sebelum itu dipercayai meminta wang daripada ibunya untuk membeli dadah.

Suspek juga mempunyai rekod melakukan ugutan ke atas ibunya pada pada 2014 dan sudah menjalani hukuman.

Berita Harian X