Isnin, 17 Januari 2022 | 1:47pm
Mohd Nasir Deraman (tengah) menunjukkan sebahagian ganja mampat yang dirampas dari sebuah MPV di Jalan Cempaka Panji, Pengkalan Chepa - Foto NSTP/IHSAN JKDM
Mohd Nasir Deraman (tengah) menunjukkan sebahagian ganja mampat yang dirampas dari sebuah MPV di Jalan Cempaka Panji, Pengkalan Chepa - Foto NSTP/IHSAN JKDM

Ganja RM600,000 dalam MPV

KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 10 guni yang mengandungi 248 kilogram (kg) ganja mampat dianggarkan bernilai RM620,000.

Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Nasir Deraman berkata, rampasan dibuat terhadap sebuah MPV di Jalan Cempaka Panji, Pengkalan Chepa di sini, jam 11.30 pagi semalam.

"Serbuan dibuat oleh Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Kota Bharu berdasarkan intipan dan maklumat.

"Hasil pemeriksaan lanjut yang dilakukan, kastam merampas 248kg ganja mampat yang disembunyikan dalam kenderaan yang diparkir di sebuah garaj dengan nilai anggaran berjumlah RM620,000," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Nasir berkata, ganja mampat itu disyaki diseludup dari Thailand melalui sempadan negara.

"Ganja mampat yang diseludup ini dikumpul dan disembunyikan di suatu tempat bagi memastikan pergerakan mereka selamat sebelum diedar dalam pasaran.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati mandatori mengikut Seksyen 39B(2)," katanya.

Orang awam yang ada maklumat berkaitan penyeludupan boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-8855, atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

Berita Harian X