Isnin, 17 Januari 2022 | 1:02pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Bukit Aman siasat satu lagi kes kematian dalam lokap

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kematian orang kena tahan (OKT) di lokap Balai Polis Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, semalam.

Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) menerima maklumat kematian lelaki berusia 37 tahun itu pada jam 4.35 petang.

Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad, berkata siasatan awal mendapati mangsa ditahan dan direman empat hari hingga Rabu ini mengikut Seksyen 12 (2) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Perintah reman dibuat di Mahkamah Kota Bharu. Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman akan menjalankan siasatan berkaitan kes ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Media melaporkan masing-masing dua anggota polis dan OKT ditahan bagi membantu siasatan kematian seorang lagi OKT di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, Perak, Khamis lalu.

Majistret Mahkamah Taiping mengeluarkan perintah reman terhadap semua suspek selama tujuh hari hingga Khamis ini.

OKT itu adalah tahanan dari Penjara Taiping yang dituduh pada 18 April tahun lalu mengikut Seksyen 379A dan 324 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X