Isnin, 17 Januari 2022 | 12:18pm

Kerani rugi RM132,000 jerat pertandingan 'teka bola sepak'

JEMPOL: Seorang kerani wanita kerugian RM132,000 akibat terperdaya dengan jerat keuntungan segera menerusi pertandingan 'teka bola sepak'.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, berkata terdahulu mangsa berusia 53 tahun itu dikatakan mendapat tahu mengenai pertandingan melalui aplikasi dalam talian berkenaan selepas diperkenalkan oleh seorang rakannya pada 13 Januari lalu.

Beliau berkata, mangsa dijanjikan keuntungan dua peratus mengikut modal dikeluarkan bagi setiap kali meneka perlawanan terbabit.

"Disebabkan mahu mendapat keuntungan banyak, mangsa dikatakan membuka lima akaun berasingan dalam aplikasi itu sebelum melaburkan wang berjumlah RM132,000 sebagai modal pertandingan.

"Mangsa melakukan enam kali transaksi dalam talian ke sebuah akaun bank sebaik saja selesai melakukan pendaftaran," katanya.

Bagaimanapun, Chang Hook berkata, mangsa dikatakan mengalami kesukaran untuk mengeluarkan keuntungan melalui aplikasi berkenaan, semalam, apabila mendapati akaunnya tidak dapat berfungsi dan modal dilaburkan turut lesap.

"Berikutan itu, pengadu membuat laporan di Balai Polis Bahau selepas mengesyaki diri ditipu. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X