Sabtu, 15 Januari 2022 | 6:03pm
- Hiasan
- Hiasan

18 warga asing ditahan melacur, mengurut

ISKANDAR PUTERI: Seramai 18 individu warga asing ditahan selepas dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran dan urut tanpa lesen menerusi empat serbuan di Taman Pulai Utama, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata serbuan kira-kira jam 5 petang hingga 7 malam itu membabitkan empat premis berasingan dalam sebuah pusat beli-belah.

Katanya, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menahan enam lelaki dan 12 wanita warga Indonesia, Filipina serta Thailand berusia 30 hingga 60 tahun.

"Siasatan awal mendapati, kesemua suspek bukan warganegara disyaki berperanan sebagai penjaga dan pekerja di pusat urut terbabit.

"Polis turut merampas 18 kondom, sembilan tuala, dua paket tisu basah, dua gulung tisu, lima botol minyak urut dan empat helai kertas putih disyaki jadual kerja bertarikh.

"Turut dirampas, dua paket tisu, satu kad tertera harga pakej urut, empat botol minyak urut serta wang tunai berjumlah RM920," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek direman 14 hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 55B Akta Imigresen, Seksyen 39b Akta Imigresen dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Berita Harian X