Jumaat, 14 Januari 2022 | 8:21pm

2 polis, 2 OKT ditahan kes tahanan mati

KUALA LUMPUR: Masing-masing dua anggota polis dan orang kena tuduh (OKT) ditahan bagi membantu siasatan kematian seorang lagi OKT di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, Perak, semalam.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad, berkata Majistret Mahkamah Taiping mengeluarkan perintah reman terhadap semua suspek selama tujuh hari hingga Khamis depan.

"Berhubung kematian OKT di lokap IPD Taiping semalam, Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman memulakan siasatan pada hari sama.

"Siasatan membawa kepada penahanan dua OKT dan dua anggota polis. Mereka ditahan reman bermula hari ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan JIPS menerima maklumat kematian lelaki berusia 63 tahun itu pada jam 11 pagi.

Siasatan mendapati OKT adalah tahanan dari Penjara Taiping yang dituduh pada 18 April tahun lalu mengikut Seksyen 379A dan 324 Kanun Keseksaan.

OKT ditempatkan di lokap IPD Taiping selepas sebutan pertama kes Selasa lalu sementara menunggu sebutan seterusnya hari ini.

Berita Harian X