Jumaat, 14 Januari 2022 | 6:51pm
Suspek disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, denda dan sebatan. - Foto hiasan NSTP
Suspek disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, denda dan sebatan. - Foto hiasan NSTP

Orang tengah palsukan sijil diberkas

MELAKA: Polis memberkas dua lelaki yang dipercayai orang tengah, sindiket memuat-turun sijil pelalian palsu dalam aplikasi MySejahtera, petang semalam.

Lelaki yang dikenali sebagai 'V Nilai' berusia 45 tahun bersama rakannya berusia 51 tahun, ditahan dalam operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, di Nilai, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata kedua-dua suspek berkenaan direman empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan sijil pelalian dalam aplikasi MySejahtera, membabitkan tiga penjawat awam Melaka, semalam.

"Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek ialah orang tengah dan akan memperoleh habuan RM50 setiap seorang, jika berjaya membawa individu yang tidak mahu divaksin untuk mendapatkan sijil vaksinasi lengkap dua dos dalam aplikasi MySejahtera.

"Ini kejayaan Polis Kontinjen Melaka dalam usaha mengesan lebih lanjut kes penipuan membabitkan vaksinasi COVID-19, khususnya di negeri ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Arshad dilaporkan berkata, polis menahan pasangan suami isteri, masing-masing berusia 38 dan 33 tahun yang bekerja di sebuah jabatan kerajaan di negeri ini, kerana disyaki mempunyai sijil pelalian palsu dalam aplikasi MySejahtera.

Turut ditahan, seorang lelaki berusia 58 tahun yang bekerja di pejabat sama, dipercayai orang tengah untuk pasangan suami isteri berkenaan memperoleh sijil lengkap dua dos vaksinasi palsu.

Suspek disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, denda dan sebatan.

Berita Harian X