Selasa, 11 Januari 2022 | 4:20pm

Suspek 'uruskan' sijil vaksinasi palsu ditahan

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lelaki hari ini, selepas dipercayai menerima wang daripada orang awam bagi pendaftaran sijil digital vaksinasi COVID-19 palsu dalam aplikasi MySejahtera sekitar Oktober tahun lalu.

Sumber berkata, ahli sindiket berusia 31 tahun itu dipercayai memberi RM2,000 kepada sukarelawan yang bertugas di sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sabah.

Katanya, ia sebagai balasan bagi mendaftar penama yang tidak menerima suntikan dos vaksin COVID-19 mendapatkan sijil digital vaksinasi dalam sistem MySejahtera.

"Suspek ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi di pejabat SPRM Kota Kinabalu susulan operasi di daerah berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Katanya, suspek disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

"Permohonan reman dijangka akan dibuat esok di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu," katanya.

Berita Harian X