Jumaat, 7 Januari 2022 | 10:07pm
Antara 13 kru warga asing termasuk tiga positif COVID-19 ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Kelantan dalam Op Khas Kuda Laut. - Foto Maritim Malaysia
Antara 13 kru warga asing termasuk tiga positif COVID-19 ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Kelantan dalam Op Khas Kuda Laut. - Foto Maritim Malaysia

13 nelayan asing termasuk tiga positif COVID-19 ditahan

PASIR PUTEH: 13 nelayan asing termasuk tiga yang positif COVID-19 ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan selepas menceroboh perairan negara, semalam.

Mereka yang menaiki dua bot jenis rawai ditahan pada jarak 50 dan 51.6 batu nautika daripada muara Tok Bali, di sini pada jam 4.35 petang dan 5.35 petang.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, kedua bot ditahan dalam tempoh sejam oleh bot peronda Maritim Malaysia dalam operasi OP Khas Kuda Laut.

Katanya, hasil ujian saringan COVID-19 mendapati tiga daripada 13 kru berusia antara 23 hingga 54 tahun warga Vietnam disahkan positif virus itu.

"Pemeriksaan mendapati bot pertama dinaiki enam kru dengan seorang tekong dan satu lagi bot dinaiki tujuh kru termasuk tekong.

"Rampasan berkenaan membabitkan nilai RM1.5 juta termasuk bot, ikan, diesel dan peralatan menangkap ikan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Syed Nor Adli berkata, rampasan membabitkan ikan pelbagai jenis iaitu ikan campur dan ikan baja sebanyak 200 kilogram dan bekalan diesel 1,000 liter.

Beliau berkata, proses membawa balik kedua bot ke Jeti Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali mengambil masa 16 jam dan tiba di situ jam 9.30 pagi tadi.

Katanya, pemeriksaan mendapati kedua bot tidak memiliki permit menangkap ikan mengikut Akta Perikanan 1985 dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

"Semua mereka juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.

Kesalahan boleh membawa hukuman denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600,000 ke atas setiap kru.

Mereka juga akan dituduh mengikut Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 6(1)(c) yang boleh membawa kepada denda RM10,000 atau penjara tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya serta boleh dikenakan sebatan tidak lebih enam sebatan.

"Komuniti Maritim terutamanya di perairan Kelantan digesa melaporkan segera kehadiran bot nelayan asing kepada APMM di talian Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Kelantan di talian 09-7780070," katanya.

Berita Harian X