Selasa, 4 Januari 2022 | 3:11pm
Antara peralatan kegiatan perlombongan haram Bitcoin yang dirampas dalam serbuan Op Letrik TNB di Manjung. - Foto ihsan polis
Antara peralatan kegiatan perlombongan haram Bitcoin yang dirampas dalam serbuan Op Letrik TNB di Manjung. - Foto ihsan polis

Peralatan melombong Bitcoin RM1.6 juta dirampas

MANJUNG: Polis merampas pelbagai peralatan kegiatan perlombongan haram mata wang digital Bitcoin dianggarkan bernilai RM1.6 juta, dalam serbuan di 16 premis melalui Op Letrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) sekitar daerah ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata operasi bermula jam 3.30 petang semalam hingga 4 pagi tadi itu membabitkan 155 pegawai dan anggota polis dengan dibantu sembilan juruteknik khas TNB serta enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan.

"Operasi itu bertujuan menghapuskan kegiatan mencuri bekalan elektrik untuk tujuan melombong Bitcoin di sekitar daerah ini.

"Melalui serbuan dilakukan, kita merampas 816 unit mesin Bitcoin, 15 unit monitor, 17 unit pemprosesan pusat (CPU) dan 16 unit router Internet yang dianggarkan bernilai RM1.6 juta.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, pihaknya akan terus mempertingkat pelaksanaan operasi dan serbuan, sekali gus tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, dalam usaha membendung kegiatan mencuri elektrik di negeri ini.

Beliau turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan individu atau premis yang dipercayai melakukan sebarang kesalahan jenayah.

"Pemilik bangunan yang menyewakan premis turut disaran mengambil tahu aktiviti dilakukan penyewa supaya tidak terbabit aktiviti menyalahi undang-undang," katanya.

Berita Harian X