Isnin, 3 Januari 2022 | 5:22pm
Barang dan kereta yang dirampas daripada kumpulan menyamun kedai runcit didalangi seorang wanita - Foto NSTP/PDRM
Barang dan kereta yang dirampas daripada kumpulan menyamun kedai runcit didalangi seorang wanita - Foto NSTP/PDRM

Wanita dalang kes samun antara 4 ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita yang dipercayai mendalangi satu kejadian samun sebuah kedai runcit di Damansara Damai, Petaling Jaya di sini, membabitkan kerugian RM19,000, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata kesemua suspek berusia antara 19 hingga 30 tahun itu ditahan dalam operasi berasingan sekitar Selangor dan ibu negara, bermula jam 1.30 pagi semalam.

Beliau berkata dalam kejadian samun kira-kira jam 10 malam itu, tiga lelaki masuk ke kedai berkenaan dengan bersenjatakan sebilah pisau dan mengugut seorang warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu kedai di situ.

Katanya, mangsa dipaksa menyerahkan semua wang tunai berjumlah RM19,000 serta sebuah telefon bimbit miliknya.

"Hasil soal siasat suspek wanita yang ditahan itu berperanan sebagai perancang dan pernah bekerja di kedai itu selama tiga bulan pada 2019.

"Dia dipercayai mengajak tiga rakan lelakinya untuk melakukan samun di kedai terbabit pada hari kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, semakan mendapati seorang suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

"Polis turut merampas sebuah kereta PROTON Satria serta sebilah pisau yang disyaki digunakan semasa melakukan samun selain lima telefon bimbit, serangkai kunci, dua beg bimbit dan wang tunai RM7,000.

"Kesemua suspek warga tempatan itu kini direman tujuh hari untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X