Sabtu, 1 Januari 2022 | 8:29am
Foto hiasan
Foto hiasan

Teringin pakai Vellfire, tukang rumah rugi RM50,160

KUANTAN: Seorang tukang rumah kerugian RM50,160 selepas terpedaya dengan tawaran penjualan kereta dari Singapura yang tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa berusia 50 tahun beralamat di Kempadang Perdana, di sini tertarik dengan tawaran jualan kereta jenis Toyota Vellfire pada harga RM24,000.

Menurutnya, mangsa melihat iklan dalam Facebook sebelum menghubungi 'Mr Ng' melalui WhatsApp dan menyatakan minat untuk membeli kereta.

"'Mr Ng' meminta mangsa menyerahkan salinan MyKad yang dihantar melalui WhatsApp seterusnya mangsa di arahkan untuk membuat pembayaran bagi proses pembelian kereta yang diinginkan itu.

"Mangsa membuat 10 transaksi pembayaran bermula 2 hingga 11 Ogos lalu dan sebanyak RM50,160 dimasukkan ke dalam tiga akaun berbeza dengan pelbagai alasan sehingga pengadu membatalkan pembelian itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa dijanjikan wang akan dikembalikan tetapi sehingga kini mangsa tidak menerima wang berkenaan selain gagal menghubungi suspek.

Mohd Wazir berkata, mangsa membuat laporan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam.

Dalam kes lain, seorang penuntut berumur 23 tahun beralamat di Jerantut kerugian RM6,900 selepas terperdaya dengan tawaran pelaburan yang tidak wujud.

Mohd Wazir berkata, mangsa membuat sebanyak tujuh transaksi berjumlah RM6,900 ke dalam tiga akaun yang berbeza kelmarin, bagaimanapun mangsa tidak mendapat keuntungan yang dijanjikan.

"IPD Kuantan semalam menerima sebanyak tiga laporan kes penipuan membabitkan jualan kereta, pelaburan dan syarikat penghantaran yang tidak wujud dengan kerugian lebih RM61,000.

"Semua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan," katanya.

Berita Harian X