Rabu, 22 Disember 2021 | 2:41pm

Sarjan Lee tipu RM108,500

SEREMBAN: Seorang pesara kerugian lebih RM100,000 apabila diperdayakan sindiket macau scam yang mendakwa wang dalam akaun miliknya adalah wang haram dan tidak berdaftar.

Sindiket yang menyamar sebagai polis berpangkat sarjan menghubungi lelaki berusia 66 tahun itu mengarahkan mangsa supaya memindahkan wang ke satu akaun untuk tujuan siasatan dan akan dikembalikan selepas ia selesai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, mangsa membuat empat transaksi ke satu akaun sama dari 13 hingga 15 Disember lalu berjumlah RM108,500.

"Lelaki warga emas ini menerima panggilan telefon daripada nombor 0104655867 yang tidak dikenali sebelum bercakap dengan seorang lelaki yang mengaku sebagai Sarjan Lee dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ipoh, kira-kira jam 4.30 petang 10 Disember lalu, di rumahnya di Batu 12, Port Dickson.

"Sindiket memaklumkan kononnya wang dalam akaun simpanan mangsa adalah haram dan tidak berdaftar. Mangsa bagaimanapun menyatakan wang berkenaan tidak haram dan ia milik mendiang bapanya," kata Aibee ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, sarjan berkenaan bagaimanapun mengarahkan mangsa untuk membuat pemindahan wang simpanan bagi siasatan sementara sebelum pesara itu membuat transaksi berjumlah RM50,000 pada 13 Disember lalu di sebuah bank di Port Dickson.

"Transaksi dilakukan ke akaun Agro Bank bernama Hadir bin Andi. Selepas selesai, suspek menghantar salinan surat daripada Jabatan Audit Negara melalui aplikasi whatsapp yang mana kandungan surat itu mengatakan ianya adalah aset yang perlu disiasat untuk memastikan wang mangsa adalah haram atau sebaliknya.

"Suspek mengarahkan mangsa membuat pemindahan wang lagi ke akaun sama dan pada hari berikutnya warga emas itu melakukan dua transaksi masing-masing berjumlah RM50,000 dan RM3,500.

"Kali terakhir mangsa membuat transaksi pada 15 Disember iaitu sebanyak RM 5,000. Sindiket memberi satu tempoh untuk wang berkenaan akan dikembalikan apabila siasatan terhadap wang simpanan itu selesai.

"Sehingga sekarang mangsa masih tidak menerima apa-apa perkembangan mengenai wangnya dan mulai merasa tertipu dan seterusnya datang ke balai buat laporan polis," katanya.

Berita Harian X