X
Rabu, 22 Disember 2021 | 12:17am

1,230 kotak arak bernilai RM117,912 dirampas

KUALA LUMPUR: Polis merampas 1,230 kotak minuman keras pelbagai jenama dipercayai diseludup bernilai RM117,912 selepas menahan tiga lelaki dalam dua serbuan berasingan di premis di Taman Bukit Maluri, Kepong, semalam.

Dalam serbuan pada jam 6 petang, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menahan suspek berusia antara 22 hingga 50 tahun.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata pihaknya turut merampas 53 botol kosong, 70 botol berisi arak, satu mesin pengadun, dua alat penimbang, 131 pelekat minuman keras pelbagai jenama serta alatan membancuh arak.

"Siasatan mendapati suspek juga memproses minuman keras buatan sendiri. Mereka berselindung di sebalik premis kilang perindustrian sejak enam bulan lalu.

"Semua suspek direman tiga hari bermula hari ini mengikut Seksyen 6(1) Akta Membaharui Undang-Undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976 dan Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai menasihatkan orang ramai supaya memberi kerjasama serta menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk mengekang aktiviti jenayah.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206.

Berita Harian X