Ahad, 19 Disember 2021 | 9:16am
Kotak yang ditemui di kebun getah mengandungi 180,000 rokok bernilai RM135,000 yang dirampas anggota PGA7 di Kampung Bukit Kwong, di sini, jam 2.30 awal pagi tadi. - Foto NSTP/Ihsan PGA7
Kotak yang ditemui di kebun getah mengandungi 180,000 rokok bernilai RM135,000 yang dirampas anggota PGA7 di Kampung Bukit Kwong, di sini, jam 2.30 awal pagi tadi. - Foto NSTP/Ihsan PGA7

Rokok bernilai RM135,000 dirampas

RANTAU PANJANG: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas 180,000 rokok bernilai RM135,000 yang disorokkan di bawah kain kanvas dalam kebun getah di Kampung Bukit Kwong, di sini, jam 2.30 awal pagi tadi.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, berkata ketika kejadian anggota bertugas membuat pemeriksaan di kebun berkenaan sebelum menemui 18 kotak berwarna coklat yang mencurigakan.

"Anggota bertindak membuka salah satu kotak dan mendapati terdapat karton rokok berwarna merah bertulis 'Zon King International' dipercayai rokok putih tidak bercukai yang diseludup dari negara jiran, Thailand.

"Oleh itu, anggota kemudian merampas kesemua kotak terbabit untuk dibawa ke Komtak Rantau Panjang untuk pemeriksaan selanjutnya sebelum diserahkan ke Balai Polis Lubok Stol bagi tindakan lanjut.

"Kesemua rokok ini kemudian diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan disiasat dibawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Azhari berkata pihaknya turut terkesan dengan bencana banjir apabila beberapa pos kawalan turut dinaiki air seperti Pos Pak Teh Kana, Pos Ibrahim Pencen, Pos Kaloi dan Pos Wakaf Zin, di sini, sejak semalam.

"Bagaimanapun, ia tidak menghalang semua anggota PGA7 untuk terus mengawal sempadan negara kerana aktiviti penyeludupan masih boleh berlaku dalam tempoh banjir.

"Malah, kami mempergiatkan lagi rondaan secara berkala di seluruh kawasan termasuk bersedia menggunakan bot untuk sebarang operasi sepanjang musim tengkujuh.

"Selain itu, pihak PGA7 bersedia membantu agensi keselamatan yang lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dalam misi menyelamat mangsa banjir," katanya.

Berita Harian X