Jumaat, 17 Disember 2021 | 6:17pm
BOT nelayan yang menyelamatkan empat nelayan tempatan selepas bot mereka karam di kedudukan 13 batu nautika barat daya Tanjung Segenting, Batu Pahat. NSTP/IHSAN MARITIM MALAYSIA
BOT nelayan yang menyelamatkan empat nelayan tempatan selepas bot mereka karam di kedudukan 13 batu nautika barat daya Tanjung Segenting, Batu Pahat. NSTP/IHSAN MARITIM MALAYSIA

Bot karam, empat nelayan selamat selepas 10 jam terapung

KOTA TINGGI: Empat nelayan tempatan mengharungi detik cemas apabila terapung di laut kira-kira 10 jam selepas bot dinaiki karam dibadai ombak pada 13 batu nautika barat daya Tanjung Segenting, Batu Pahat, malam tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa, berkata dalam kejadian jam 11 malam itu, nelayan berumur 25 hingga 34 tahun diselamatkan bot nelayan tempatan lain yang turut dalam operasi mencari dan menyelamat mereka.

Katanya, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan jam 1.30 pagi dari Zon Maritim Batu Pahat yang menerima maklumat awal daripada pemilik bot terbabit.

"Bot nelayan itu karam berikutan cuaca buruk dan laut beralun besar. Ketika kejadian semua nelayan memakai jaket keselamatan.

"Kesemua mereka terapung di laut selama 10 jam sebelum diselamatkan bot nelayan lain yang turut sama mencari," katanya pada sidang media di Pusat Operasi Carilamat di Pantai Tanjung Balau, di sini, hari ini.

Simon Templer menasihati komuniti nelayan agar lebih peka akan perubahan cuaca dan mendapatkan maklumat ramalan sebelum ke laut.

"Persediaan dari segi peralatan keselamatan seperti jaket dan pelampung keselamatan perlu ada dalam bot dan dalam keadaan baik untuk digunakan.

"Komuniti nelayan juga dinasihatkan untuk menyelenggara bot dan enjin agar tidak mendatangkan risiko ketika di laut seperti kerosakan enjin dan hanyut memasuki laluan kapal besar," katanya.

Berita Harian X