Isnin, 13 Disember 2021 | 4:47pm
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. - FAIL NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. - FAIL NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

Curi elektrik untuk lombong bitcoin

JOHOR BAHRU: Polis menyerbu sebuah premis yang dipercayai menjalankan kegiatan melombong bitcoin menggunakan tenaga elektrik secara haram dalam serbuan di Kawasan Perindustrian Taman Berjaya Skudai, awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata operasi jam 2 pagi itu membabitkan sepasukan polis dari cawangan D4 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dengan kerjasama pasukan Seal Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Katanya, seorang lelaki berusia 40 tahun dipercayai penyelia premis berkenaan turut ditahan, selain siasatan mendapati tangkapan mendapat bayaran gaji RM3,000 sebulan.

"Siasatan mendapati premis berkenaan tidak berdaftar di bawah senarai TNB (tiada meter elektrik), wayar elektrik disambungkan secara terus dari 'feeder' (kotak TNB) ke premis berkenaan.

"Hasil semakan TNB, anggaran kasar kerugian elektrik di premis itu adalah 141,632 kilowatt jam (KWJ) sebulan bersamaan RM73,507 yang menjadikan jumlah kerugian keseluruhan bernilai RM220,521, dipercayai sejak tiga bulan lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ayob Khan berkata, kegiatan melombong bitcoin di premis itu dipercayai turut membabitkan penggunaan rangkaian komputer berkuasa tinggi.

Katanya, modus operandi digunakan adalah mencuri bekalan elektrik kerana tidak mahu membayar bil tinggi dengan membuat sambungan haram melepasi meter.

"Polis merampas 170 mesin melombong bitcoin dan mesin bekalan tenaga.

"Seal TNB mendapati ada bukti munasabah menunjukkan kesalahan mengikut Seksyen 37(1), Seksyen 37(3) dan Seksyen 37(14) Akta Bekalan Elektrik 1990 dilakukan pada premis berkenaan, selain bertindak memotong bekalan elektrik.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta melakukan khianat ke atas harta benda milik TNB," katanya.

Berita Harian X