Isnin, 13 Disember 2021 | 12:49pm
 Foto hiasan
Foto hiasan

Pelajar teruja cabutan bertuah, rugi RM26,200

KOTA BHARU: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima kerugian RM26,200 apabila ditipu butik pakaian tidak wujud yang kononnya menawarkan hadiah cabutan bertuah berupa telefon pintar.

Pada awalnya mangsa berusia 17 tahun yang tinggal di Tanah Merah ingin membeli sehelai blaus selepas melihat iklan di Instagram dan membayar RM200 termasuk kos penghantaran, akhir bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed, berkata mangsa berurusan dengan penjual melalui aplikasi mesej Instagram yang memintanya memasukkan RM200 ke satu akaun bank.

Beliau berkata, pada awal bulan ini mangsa menerima mesej WhatsApp dari wakil butik berkenaan dan memaklumkan mangsa memenangi cabutan bertuah iPhone 12 Pro Max dan diminta membuat bayaran terlebih dahulu sebagai wang jaminan.

"Mangsa seterusnya membuat pindahan wang RM1,000 ke satu akaun bank milik individu berbeza menggunakan perkhidmatan perbankan internet ibunya," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Azizul berkata, mangsa kemudiannya diminta untuk membuat tiga lagi bayaran berjumlah RM7,000 ke akaun bank yang sama kononnya sebagai wang cagaran yang akan dipulangkan semula.

Menurutnya dalam tempoh beberapa hari kemudian, mangsa masih lagi diminta membuat beberapa lagi bayaran berjumlah RM18,000 ke beberapa akaun bank lain milik individu berbeza bagi pelbagai tujuan seperti untuk membuka kata laluan iPhone 12 Pro Max berkenaan selain kos penghantaran.

"Mangsa akhirnya mengesyaki ditipu selepas menerima satu panggilan aplikasi WhatsApp memperkenalkan diri sebagai pegawai bank meminta mangsa membuat bayaran tambahan bagi mendapatkan kembali wang milik mangsa dan jika tidak berbuat demikian, remaja itu diugut akan dibawa ke mahkamah.

"Mangsa yang masih belum menerima baju dibelinya dan hadiah cabutan bertuah itu membuat laporan polis," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat serta boleh juga dikenakan denda.

Sebagai langkah berwaspada, orang ramai disaran membuat semakan nombor akaun bank dan juga nombor talian di laman sesawang http//ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau di aplikasi telefon pintar "Check Scammers CCID' yang boleh dimuat turun secara percuma.

Talian CCID Scam Response Centre 03-2610 1559 / 03-2610 1599 juga boleh dihubungi untuk pertanyaan lanjut mengenai modus operandi jenayah komersil dan juga untuk mangsa hubungi sekiranya sudah melakukan transaksi bayaran ke akaun keldai.

Berita Harian X