Jumaat, 3 Disember 2021 | 10:22pm
Dua beranak yang diburu polis. - Foto IHSAN POLIS
Dua beranak yang diburu polis. - Foto IHSAN POLIS

Tetak empat sekeluarga, dua beranak diburu

BELURAN: Polis memburu dua beranak yang dipercayai terbabit dalam kejadian menetak empat sekeluarga di sebuah ladang di Kampung Cahaya Baru, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda, berkata dua suspek lelaki berusia 23 dan 51 tahun itu dipercayai terbabit dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi, Selasa lalu.

"Semua mangsa berusia antara 18 hingga 47 tahun.

"Sebelum kejadian berkenaan, isteri seorang mangsa dikatakan menegur kakak suspek bagi menuntut hutang, lalu pertengakaran.

"Hal itu menyebabkan suspek lelaki berusia 23 tahun marah lalu menyerang isteri mangsa dengan sebilah parang.

"Suami wanita itu cuba menghalang sebelum ditetak di tangan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kasim berkata, pergaduhan berkenaan dileraikan penyelia ladang yang kemudian membawa mangsa ke pejabat untuk meredakan keadaan.

Katanya, suspek pulang ke rumah sebelum kembali bersama bapanya yang menetak tiga lagi ahli keluarga mangsa sehingga parah.

"Kedua-dua suspek melarikan diri selepas kejadian itu," katanya.

Beliau berkata, keempat-empat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk rawatan dan dilaporkan stabil.

"Usaha mengesan kedua-dua suspek giat dijalankan dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya.

Berita Harian X