Jumaat, 3 Disember 2021 | 2:09pm

Pemuda rugi RM21,280 tertipu tawaran pekerjaan

KUANTAN: Seorang pemuda mendakwa kerugian lebih RM21,000 akibat terperdaya dengan tawaran pekerjaan menerusi laman sosial, baru-baru ini.

Mangsa berusia 22 tahun dikatakan berminat untuk menambah pendapatan melalui pekerjaan sampingan selepas melihat tawaran itu ketika melayari Facebook di rumahnya di Bandar Putra, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata lelaki itu kemudian menekan pautan yang disertakan sebelum berhubung dengan seorang wanita.

Susulan itu, beliau berkata, suspek didakwa memaklumkan bahawa mangsa perlu membuat tangkapan layar barangan yang ditempah pelanggan dan menghantar kepadanya melalui aplikasi WhatsApp.

"Selepas mangsa bersetuju, suspek dikatakan memintanya membuat bayaran pendahuluan bagi pekerjaan itu dan akan memperoleh semula wang terbabit berserta komisen sebanyak 20 peratus.

"Mangsa kemudian memasukkan wang RM30 sebelum suspek didakwa memasukkan semula duit modal dan keuntungan kepada mangsa sebanyak RM33," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa seterusnya dikatakan membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM21,280 ke dalam akaun berbeza bagi memperoleh komisen berganda.

Bagaimanapun selepas berbuat demikian, beliau berkata, mangsa mendakwa tidak memperoleh semula wang dan komisen sebagaimana dijanjikan suspek.

"Suspek didakwa memberi pelbagai alasan dan enggan mengembalikan semua wang berkenaan.

"Susulan itu, mangsa mengesyaki dirinya telah ditipu dan tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam," katanya.

Berikutan itu, Mohd Wazir berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Berita Harian X