Ahad, 28 November 2021 | 11:34am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Beg disangka ada bom

KUALA LUMPUR: Orang ramai di Jalan Telawi, Bangsar, di sini gempar dengan penemuan beg pakaian yang disangka mengandungi bom, semalam.

Beg pakaian itu ditemui di tepi tong sampah berhampiran sebuah kedai basikal, diperiksa oleh sepasukan Unit Pemusnah Bom, yang bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan orang awam pada jam 4.15 petang.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan ternampak satu beg pakaian di kawasan berkenaan.

"Bertindak atas maklumat berkenaan, sepasukan polis dari Unit Pengesan Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Unit Anjing Pengesan (K9) menjalankan pemeriksaan objek yang disyaki bom di dalam beg itu.

"Bagaimanapun, tiada sebarang indikasi ditemui di dalam beg yang ditinggalkan oleh suspek.

"Hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (cctv) di lokasi kejadian memaparkan rakaman imej separuh badan dan menunjukkan kaki suspek yang memakai seluar pendek meletakkan sebuah beg bagasi di lokasi kejadian sebelum beredar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amihizam meminta saksi dan mereka yang mempunyai maklumat mengenai individu yang mungkin terbabit dalam insiden itu untuk tampil ke balai polis berdekatan bagi memberi keterangan.

Berita Harian X