Sabtu, 27 November 2021 | 1:18pm
Mohd Hairul (tengah) melakukan pemeriksaan dalam Op Pasar di Pasar Awam Taman Universiti, Johor Bahru. - Foto ihsan KPDNHEP Johor
Mohd Hairul (tengah) melakukan pemeriksaan dalam Op Pasar di Pasar Awam Taman Universiti, Johor Bahru. - Foto ihsan KPDNHEP Johor

64 notis dikeluarkan kepada peniaga sayur - KPDNHEP Johor

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Nege-ri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mengeluarkan 64 notis kepada peniaga sayur bagi menyiasat aduan berkaitan kenaikan harga jualan.

Pengarahnya, Mohd Hairul Anuar Bohro, berkata notis itu susulan pemeriksaan dijalankan sejak Januari lalu hingga semalam bagi mengesan jika wujud sebarang elemen pencatutan.

Katanya, notis mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 itu dikeluarkan khusus bagi jualan barangan seperti tomato, lobak, kubis bulat dan cili merah.

"KPDNHEP Johor maklum aduan berkaitan kenaikan harga barangan keperluan harian seperti barang basah dan segar, terutama di lokasi tumpuan seperti pasar awam dan basah berikutan pembukaan semula hampir keseluruhan sektor ekonomi perniagaan.

"Pemeriksaan ini bagi memantau kenaikan harga barangan keperluan utama rakyat di peringkat pembekalan barang secara berterusan mengikut rantaian pengedaran," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, mengikut rekod sebanyak 5,687 premis diperiksa meliputi 4,193 peruncit, 1,061 pemborong dan 433 pengilang sejak negeri ini memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 8 Oktober lalu.

Terdahulu, Mohd Hairul Anuar Bohro mengetuai pemeriksaan di Pasar Awam Taman Universiti, di sini, membabitkan keseluruhan sejumlah 98 peniaga.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 20 notis dikeluarkan kepada peniaga yang menjual barangan pada harga tinggi daripada biasa untuk tampil memberi penjelasan.

Berita Harian X