Jumaat, 26 November 2021 | 1:06pm
Seorang lelaki maut selepas Perodua Myvi dinaiki dirempuh sebuah Honda HRV dalam kemalangan di Kilometer 3, Jalan Sawah Lebar, di sini, malam tadi. - Foto ihsan polis
Seorang lelaki maut selepas Perodua Myvi dinaiki dirempuh sebuah Honda HRV dalam kemalangan di Kilometer 3, Jalan Sawah Lebar, di sini, malam tadi. - Foto ihsan polis

Lelaki maut SUV rempuh Myvi

KUALA PILAH: Seorang lelaki maut, manakala seorang lagi parah dalam kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi dan kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HR-V di Kilometer 3, Jalan Sawah Lebar, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, pemandu Myvi, Anas Saufi Abdul Rashid, 26, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Pilah, sejurus selepas kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani, berkata penumpang SUV terbabit cedera parah dan dirawat di hospital sama, manakala pemandu kenderaan itu hanya mengalami luka pada tangan dan dahi.

"Siasatan awal mendapati, Myvi berkenaan dalam perjalanan dari arah Kuala Pilah ke Kuala Jempol.

"Ketika tiba di lokasi, kenderaan itu dipercayai terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan lalu dirempuh Honda HRV dipandu lelaki berusia 60 tahun bersama penumpang wanita berusia 58 tahun," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, akibat rempuhan kuat itu pemandu Myvi terbabit cedera parah di anggota badan dan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Pilah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X