Khamis, 25 November 2021 | 5:04pm

Lelaki maut dicekik dalam pergaduhan

IPOH: Seorang lelaki maut disyaki dicekik dalam kejadian pergaduhan di hadapan sebuah warung pasar pagi di Flat Ashby Road di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa, Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, meninggal dunia di tempat kejadian selepas lehernya dicekik.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata susulan kejadian itu polis menahan lelaki berusia 34, 47 dan 60 tahun di lokasi kejadian bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Siasatan awal mendapati, suspek dikatakan tidak berpuas hati kerana mangsa mencuri pembesar suara milik seorang daripada mereka.

"Ketika kejadian, suspek menemui mangsa bersama pembesar suara itu, sebelum berlaku pertengkaran di antara mereka dan mengakibatkan mangsa terbunuh dalam kejadian itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, seorang daripada tiga suspek yang juga pemilik gerai di kawasan berkenaan datang kemudian dalam pergaduhan itu.

"Suspek itu datang membantu rakannya dalam pergaduhan terbabit, sebelum leher mangsa dicekik dan kemudiannya meninggal dunia," katanya.

Beliau berkata, pihak polis juga percaya mangsa mempunyai masalah mental.

"Polis turut merampas sebilah pisau lipat milik mangsa di lokasi kejadian. Ketiga-tiga suspek yang ditahan direman selama seminggu bagi membantu siasatan," katanya.

Seorang lelaki maut disyaki dicekik dalam kejadian pergaduhan di hadapan sebuah warung pasar pagi di Flat Ashby Road di sini, pagi tadi. - Foto NSTP/Balqis Jazimah Zahari
Seorang lelaki maut disyaki dicekik dalam kejadian pergaduhan di hadapan sebuah warung pasar pagi di Flat Ashby Road di sini, pagi tadi. - Foto NSTP/Balqis Jazimah Zahari
Berita Harian X