Rabu, 24 November 2021 | 6:07pm
Ahmad Zahid hadir untuk perbicaraan kes penyelewengan dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto NSTP/FATHIL ASRI
Ahmad Zahid hadir untuk perbicaraan kes penyelewengan dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto NSTP/FATHIL ASRI

Tabiat berbelanja mewah tidak relevan

KUALA LUMPUR: Pandangan pendakwaan berhubung tabiat berbelanja Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan isterinya tidak relevan dalam perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dihadapi Presiden UMNO itu, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Peguam Ahmad Zahid, Hamidi Mohd Noh yang mengemuka hujahan pada akhir kes pendakwaan, berkata pihak pendakwaan tidak sepatutnya membangkitkan isu berkenaan kerana ia tidak perlu.

Peguam itu berkata, pihak pembelaan membantah sekeras-kerasnya penggunaan fakta yang tidak relevan yang dinyatakan oleh pendakwaan kerana itu sangat prejudis terhadap anak guamnya.

"Kami memohon supaya mahkamah tidak menimbangkan pandangan pendakwaan berhubung tabiat berbelanja yang tidak relevan sama sekali. Kami sangat tersinggung dengan kenyataan yang penuh prejudis dan tidak relevan kepada fakta dalam kes ini," katanya.

Peguam itu merujuk kepada hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran bahawa Ahmad Zahid dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis menjelaskan bil kad kredit melebihi RM1.3 juta menggunakan wang Yayasan Akalbudi, selepas membeli belah di gedung mewah seperti Giorgio Armani, Louis Vuitton dan Hermes dalam tempoh dua tahun.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Dalam hujahannya Raja Rozela berkata: "Walaupun diakui tabiat berbelanja tertuduh dan isteri mungkin tidak menjadi masalah dalam kes ini, seseorang akan tertanya-tanya sama ada mereka memikirkan golongan miskin di negara ini ketika membeli belah di gedung berjenama dan mewah".

Sementara itu, Hamidi berhujah, anak guamnya tidak sepatutnya didakwa kerana pihak yang melakukan kesalahan ialah bekas Setiausaha Eksekutifnya, Mejar Mazlina Mazlan.

Beliau berkata, Mejar Mazlina bukan kambing hitam dalam kes terbabit, sebaliknya saksi pendakwaan ke-90 itu ialah penyebab anak guamnya didakwa.

Katanya, pendakwaan tersilap apabila beranggapan Ahmad Zahid berhasrat untuk menjadikan Mejar Mazlina sebagai kambing hitam atas kesalahan yang dilakukannya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid hadir bagi mendengar hujahan kes rasuah dan pecah amanah pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid hadir bagi mendengar hujahan kes rasuah dan pecah amanah pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/HAZREEN MOHAMAD

Berita Harian X