Selasa, 23 November 2021 | 8:58am
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid (kanan) menunjukkan sebahagian hasil laut negara yang dirampas selepas menahan dua bot nelayan Vietnam.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid (kanan) menunjukkan sebahagian hasil laut negara yang dirampas selepas menahan dua bot nelayan Vietnam.

Awak-awak Vietnam dalam bot tempatan jadi tali barut pencerobohan asing

CHUKAI: Awak-awak Vietnam yang bekerja dengan bot tempatan, dikesan menjadi dalang menyampaikan maklumat bagi memudahkan nelayan negara itu menceroboh perairan dan merompak hasil laut negara.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid, berkata perbuatan itu berjaya dibongkar selepas pihaknya memintas alat perhubungan bot nelayan asing dengan bot tempatan.

Beliau berkata, awak-awak Vietnam yang bekerja dengan bot tempatan akan berkomunikasi dengan nelayan Vietnam terbabit, sebaik mendapati perairan negara selamat diceroboh tanpa kelibat pihak berkuasa.

"Berdasarkan keadaan itu, kita mempertingkatkan rondaan dan operasi termasuk di musim tengkujuh ini dalam suasana ombak besar dan ribut kencang," katanya.

Rashidiihadi berkata, dalam Ops Kuda Laut dan Ops Khas Naga Barat yang dilakukan itu membuahkan hasil apabila dua buat bot nelayan Vietnam berjaya ditahan pada jarak 65 batu nautika dari Kuala Kemaman, kira-kira jam 9 pagi, kelmarin.

"Kedua-dua bot terbabit sedang menangkap hasil laut negara secara tunda ganding dan sebaik menghampiri, kedudukan mereka, kedua-dua bot Vietnam itu cuba merempuh kapal peronda kami dan bertindak melarikan diri.

"Kami terpaksa mengejar bot terbabit selama kira-kira 30 minit sebelum berjaya memintas dan menahan mereka," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati ada 500 kilogram ikan campuran dan 2,000 liter minyak diesel serta alat tangkapan dan jumlah hasil rampasan keseluruhan termasuk kedua-dua bot itu dianggarkan bernilai RM3 juta.

"Kesemua 25 nelayan Vietnam termasuk dua tekong berusia di antara 18 hingga 50 tahun serta dua bot berkenaan dibawa ke Jeti MARITIM Kemaman untuk siasatan lanjut mengikut Seksen 15(1),(a) dan 8(a) Akta Perikanan 1985," katanya.

Berita Harian X