Ahad, 21 November 2021 | 11:09am

Pesara kerajaan rugi RM120,000 ditipu 'Puan Wong'

SEREMBAN: Seorang pesara kerajaan berputih mata apabila wang simpanan di dua akaun berjumlah RM120,500 lesap selepas diperdaya sindiket 'Macau scam'.

Wanita warga emas itu mulanya dihubungi individu yang mendakwa kononnya mangsa terbabit kegiatan pengubahan wang haram dan meminta maklumat akaun dimiliki.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani, berkata wanita berusia 71 tahun itu dihubungi sindiket kali pertama pada 3 Oktober lalu yang menyamar sebagai ejen insurans.

"Ketika di rumah di Lenggeng, mangsa menerima panggilan daripada seseorang yang mendakwa ejen insurans, kononnya dia ada membuat tuntutan insurans, namun wanita ini menafikan.

"Mangsa kemudian disambungkan kononnya ke Balai Polis Pudu dan bercakap dengan seorang bernama Sarjan Adam Musftafa sebelum disambungkan pula kepada individu lain bernama Inspektor Mastura," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Aibee berkata, mangsa didakwa terbabit pengubahan wang haram dan disambungkan lagi kepada pegawai atasan bernama Puan Wong yang memintanya memberikan maklumat akaun bank.

"Mangsa juga diminta memindahkan wang daripada akaun CIMB Bank dan akaun Bank Rakyat ke satu akaun Bank Islam miliknya sendiri.

"Bagaimanapun, baru-baru ini mangsa membuat semakan akaun Bank Islam dan Tabung Haji, mendapati terdapat pengeluaran berjumlah RM120,500 dengan transaksi pertama pada 8 Oktober berjumlah RM50,000.

"Transaksi kedua pada 9 Oktober berjumlah RM50,000 dan kali ketiga pada 10 Oktober berjumlah RM20,500. Semua transaksi dilakukan dalam talian," katanya.

Mangsa yang mengesyaki diperdaya sindiket membuat laporan polis semalam dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Meskipun sudah ramai sudah ditipu menggunakan taktik sama, masih terdapat individu terperdaya terutama warga emas dan pesara. Polis tidak akan menghubungi suspek dan memaklumkan dia melakukan jenayah," katanya.

Berita Harian X