Jumaat, 1 Oktober 2021 | 8:12pm
Polis menahan individu yang membantah tindakan Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur mahu mewujudkan laluan ke kawasan pembinaan sebuah sekolah berhampiran tokong di Kuala Lumpur. - Foto hiasan NSTP
Polis menahan individu yang membantah tindakan Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur mahu mewujudkan laluan ke kawasan pembinaan sebuah sekolah berhampiran tokong di Kuala Lumpur. - Foto hiasan NSTP

Rusuhan: Polis tahan 20 individu

KUALA LUMPUR: Polis menahan 20 individu termasuk enam wanita semalam dan kelmarin, berhubung rusuhan di depan tokong di Bandar Salak Selatan, Jalan Sungai Besi, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata pihaknya menahan semua suspek terbabit rusuhan itu, susulan penahanan individu berusia antara 18 hingga 84 tahun berkenaan.

Katanya, ini menjadikan keseluruhan tangkapan kepada 24 orang selepas empat lelaki berusia antara 18 hingga 50 tahun ditahan pada hari kejadian dan direman dua hari berakhir semalam.

"Pada jam 1.30 pagi semalam, kita mengepung kawasan kejadian untuk membuat tangkapan. Pihak tokong menyerah diri dan menyerahkan surat permohonan maaf kepada polis. Berikutan itu, kita menahan 12 lelaki dan enam wanita.

"Kita juga menahan dua lelaki pada jam 8.30 malam kelmarin bagi membantu siasatan. Daripada semua tahanan hari ini dan semalam, dua sudah dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor usia.

"Permohonan reman dibuat ke atas baki 18 suspek dan hanya 10 direman sehari," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Idzam berkata, kertas siasatan yang lengkap sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini dengan cadangan pertuduhan mengikut Seksyen 148, 186 dan 353 Kanun Keseksaan.

Katanya, turut dicadangkan pertuduhan mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021, berikutan suspek melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berkumpul di tempat awam.

"Polis menafikan terdapat tindakan untuk merobohkan mana-mana tokong dalam kejadian itu, susulan dakwaan satu video tular di media sosial.

"Kita menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran serta menggugat ketenteraman awam," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu, kira-kira 30 individu dikatakan membantah tindakan Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur mahu mewujudkan laluan ke kawasan pembinaan sebuah sekolah berhampiran tokong terbabit.

Muhammad Idzam dipetik berkata, satu operasi dijalankan PTG Kuala Lumpur untuk membina pagar penghadang, bagi membina jalan untuk dijadikan laluan ke sekolah dan bukan meroboh binaan.

Dalam operasi itu, pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras hadir bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi.

Semasa operasi dijalankan, terdapat sekumpulan lelaki dan wanita membawa kayu dan besi membantah tindakan itu.

Kumpulan ini menghalang dan merosakkan jentolak, selain menyerang anggota polis yang bertugas di tempat kejadian.

Berita Harian X