Jumaat, 17 September 2021 | 4:21pm
lelaki warga Bangladesh ditahan polis selepas dipercayai mencabul remaja lelaki dalam kebun sayur di Sungai Burung. - NSTP/Ihsan PDRM
lelaki warga Bangladesh ditahan polis selepas dipercayai mencabul remaja lelaki dalam kebun sayur di Sungai Burung. - NSTP/Ihsan PDRM

Lelaki Bangladesh guna helah beli ikan cabul remaja

BALIK PULAU: Seorang lelaki warga Bangladesh ditahan polis selepas dipercayai mencabul remaja lelaki dalam kebun sayur di Sungai Burung, di sini kelmarin.

Penahanan suspek susulan laporan polis dibuat remaja lelaki berusia 18 tahun berkenaan pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata mangsa mendakwa baru selesai memancing pada jam 11 pagi sebelum berselisih dengan suspek ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

"Suspek menyatakan hasrat mahu beli ikan haruan yang dipancing remaja itu sebelum mereka tawar menawar harga dan kemudian mangsa bersetuju menjual dua ikan haruan pada harga RM5. Suspek memberi alasan tidak bawa duit dan meminta mangsa mengikutnya ke rumah," katanya di sini, hari ini.

Menurut Kamarul Rizal, sebaik tiba di rumah berkenaan, suspek mengajak mangsa ke kebun sayur di belakang kediaman terbabit sebelum mula mencabul mangsa.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal.

"Terkejut dengan tindakan itu, remaja berkenaan menepis tangan suspek dan melarikan diri. Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, namun takut dengan kejadian yang menimpa dirinya," katanya.

Susulan itu, polis menahan suspek berusia 23 tahun yang juga pekerja kebun sayur berkenaan di Jalan Baru di sini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

Berita Harian X