Selasa, 14 September 2021 | 11:04pm
Proton Waja dinaiki wanita bersama suami, anak dan ibunya terbalik dalam kemalangan di Jalan Jeniang-Sik-Pedu di Kampung Surau, petang tadi. FOTO IHSAN PEMBACA
Proton Waja dinaiki wanita bersama suami, anak dan ibunya terbalik dalam kemalangan di Jalan Jeniang-Sik-Pedu di Kampung Surau, petang tadi. FOTO IHSAN PEMBACA

Ibu 4 anak maut kemalangan

SIK: Seorang ibu kepada empat anak maut selepas kereta dinaiki bersama suami, anak bongsu dan ibunya terbabas di Jalan Jeniang-Sik-Pedu di Kampung Surau, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman, berkata mangsa Siti Fatimah Md Noor, 30, meninggal dunia di tempat kejadian manakala suaminya, Mohd Zamani Md Saad, 35, cedera.

"Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang tadi, empat beranak itu menaiki kereta jenis Proton Waja dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Belantik ke pekan Sik.

"Apabila tiba di lokasi, kereta dipandu suaminya, hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan dan melanggar besi penghadang besi.

"Akibat kemalangan itu, kereta terbabit terbalik, pemandu serta dua penumpang iaitu bayi lelaki berusia lapan bulan serta ibu mangsa, Rokayah Che Oon, 60, tercampak ke luar kenderaan mengalami kecederaan.

"Mangsa pula disahkan meninggal dunia di dalam kereta di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan dalaman," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Abdull Razak, berkata kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sik untuk mendapatkan rawatan manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.

"Punca sebenar kematian mangsa akan diketahui selepas bedah siasat dan keputusan ujian saringan COVID-19 diperoleh," kata beliau.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X