Khamis, 5 Ogos 2021 | 10:44am
Anggota polis mengangkat mayat bayi perempuan yang cukup sifat ditemui dengan keadaan dikerumuni ikan di dalam longkang berhampiran kebun durian di Mukim 6, Pondek Upeh, Balik Pulau. NSTP/ Foto ihsan Pembaca
Anggota polis mengangkat mayat bayi perempuan yang cukup sifat ditemui dengan keadaan dikerumuni ikan di dalam longkang berhampiran kebun durian di Mukim 6, Pondek Upeh, Balik Pulau. NSTP/ Foto ihsan Pembaca

Mayat bayi perempuan ditemui dalam longkang

BALIK PULAU: Mayat bayi perempuan ditemukan di dalam longkang berhampiran kebun durian Mukim 6, Pondek Upeh di sini, petang semalam.

Bayi yang masih bertali pusat itu juga ditemukan dalam keadaan dikerumuni ikan di dalam longkang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata mayat bayi berkenaan ditemukan pada jam 2.30 petang selepas pihaknya menerima laporan doktor di Hospital Balik Pulau.

Beliau berkata, doktor terbabit mendakwa menerima pesakit wanita warga asing yang mengalami pendarahan pada rahim dan dipercayai baru melahirkan bayi.

"Dikatakan pegawai perubatan menemui uri dalam rahimnya namun suspek enggan memberi kerjasama berhubung kelahirannya.

"Siasatan awal mendapati suspek berusia 35 tahun itu dimasukkan ke hospital berkenaan kelmarin, selepas dia ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri serta berlumuran darah oleh majikannya pada jam 6 petang," katanya ketika dihubungi di sini.

Kamarul Rizal berkata, hasil soal siasat suspek mengaku membuang bayinya di dalam longkang berdekatan rumah yang juga tempatnya bekerja selepas menyedari bayi itu lahir dalam keadaan tidak bernyawa di bilik tidurnya sejam sebelum dia ditemukan majikannya.

Katanya, suspek mendakwa dia berniat menanam bayi itu selepas menyedari tidak bernyawa namun apabila sampai berdekatan longkang dia berasa mahu pitam dan bayi berkenaan terlepas daripada pegangannya sebelum jatuh dalam longkang.

"Suspek turut mendakwa sempat kembali ke rumah sebelum pengsan di dapur dan dibantu majikannya yang berusia 54 tahun.

"Suspek juga mengaku mengandung hasil hubungannya dengan pekerja kebun yang tinggal berdekatan dengan tempat kerjanya," katanya.

Kamarul Rizal berkata, Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang kemudiannya ke lokasi penemuan mayat bayi itu dan tempat kerja suspek bagi melakukan siasatan.

Katanya, mayat bayi itu dibedah siasat hari ini selepas mendapat keputusan saringan COVID-19 dan usaha mengesan lelaki yang dipercayai bapa bayi berkenaan sedang giat dijalankan.

"Suspek wanita itu ditahan di wad hospital ketika ini berikutan dia masih perlu mendapat rawatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan," katanya.

Difahamkan, wanita itu bekerja sebagai penjaga warga emas dengan gaji bulanan RM1,300 dan dia menjaga bapa kepada majikannya itu sejak Februari tahun lalu.

Berita Harian X