Isnin, 19 Julai 2021 | 4:21pm
Najib tiba Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS
Najib tiba Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS

Bicara Najib, Arul Kanda: Mahkamah tambah tarikh

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menambah tarikh perbicaraan selama lapan hari untuk kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, ketika dihubungi BH, berkata perbicaraan kes berkenaan akan disambung bicara pada 11 dan 12 Ogos ini.

"Bagaimanapun, mahkamah turut memberi tarikh baharu untuk perbicaraan itu pada Mac tahun depan.

"Tarikh tambahan yang ditetapkan pada 7 hingga 10 Mac dan 28 hingga 31 Mac 2022," katanya.

Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB. - Foto NSTP
Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB. - Foto NSTP

Terdahulu, kes itu hari ini ditetapkan untuk pengurusan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nur Azizah Jaafar.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 44, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Berita Harian X