Ahad, 27 Jun 2021 | 12:33pm
Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan selepas suspek menyerang menggunakan parang. - Foto NSTP/ Ihsan PDRM
Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan selepas suspek menyerang menggunakan parang. - Foto NSTP/ Ihsan PDRM

Suspek 22 rekod jenayah lampau ditembak mati

BAYAN LEPAS: Polis menembak mati seorang lelaki yang mempunyai 22 rekod jenayah lampau dalam kawasan hutan di Jalan Air Terjun, Kampung Bukit di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, polis terpaksa melepaskan dua das tembakan selepas suspek cuba menyerang anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Barat Daya menggunakan parang.

Akibat tembakan berkenaan, suspek berusia 34 tahun yang tidak bekerja itu rebah dan meninggal dunia kira-kira 30 meter dari pondok yang juga tempat tinggalnya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata suspek menyerang anggota polis sebaik menyedari kehadiran mereka.

Katanya, suspek masih menyerang walaupun pihaknya sudah memperkenalkan diri sebagai polis, hingga menyebabkan kecederaan pada lengan kanan seorang anggota.

"Anggota terpaksa melepaskan dua das tembakan bagi mempertahankan diri, sebelum terkena pada badan suspek.

"Anggota di lokasi kejadian menghubungi ambulans bagi memberikan bantuan awal bagaimanapun pegawai kesihatan tiba di lokasi mengesahkan suspek meninggal dunia," katanya di sini, hari ini.

Turut dirampas ialah sebilah parang, pemutar skru dalam milikan suspek dan peralatan menghisap dadah dalam pondok didiaminya.

Kamarul Rizal berkata, suspek dikesan sejak sebulan lalu bagi membantu siasatan atas pelbagai kes termasuk kes pecah rumah dan curi di sekitar daerah ini.

"Semakan mendapati suspek mempunyai 22 rekod lampau termasuk dikehendaki polis membabitkan kes samun dan narkotik.

"Difahamkan, mangsa tinggal di dalam kawasan hutan itu bagi mengelakkan dikesan pihak polis susulan melakukan kes pecah rumah dan curi di sekitar daerah Barat Daya," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang bagi proses bedah siasat.

Berita Harian X