Rabu, 23 Jun 2021 | 11:22am
Laporan dalam BH Online.
Laporan dalam BH Online.

Lelaki beri minuman keras kepada bayi direman lima hari

BALIK PULAU: Lelaki yang ditahan kerana disyaki memberi minuman keras kepada bayi dalam satu video tular, direman lima hari, bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata pekerja sambilan di kedai runcit berusia 19 tahun itu direman sehingga 27 Jun ini bagi membantu siasatan.

"Mahkamah membenarkan suspek direman lima hari, bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 30 saat di media sosial menunjukkan seorang lelaki memberi minuman keras kepada bayi.

Kamarul Rizal berkata, berikutan itu, suspek ditahan di sekitar Teluk Bahang, pada jam 1.30 petang semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek mempunyai 14 rekod jenayah lampau dan menjadi orang dalam pengawasan polis (OPP) di kawasan berkenaan.

Kejadian dikatakan berlaku di rumah sewa suspek di Kampung Telok Awak, Teluk Bahang, pada Mac lalu dan video dipercayai dirakam rakan suspek ketika bayi lelaki itu berusia lima bulan.

Berita Harian X