Selasa, 15 Jun 2021 | 2:41pm

Lari dari polis, rempuh warga emas

GEORGETOWN: Polis terpaksa melepaskan empat das tembakan ke arah sebuah kereta dinaiki seorang lelaki yang melarikan diri dari pemeriksaan dalam kejadian di Jalan Batu Uban 2 di sini hari ini.

Malah, suspek terbabit yang juga seorang pemotong rumput berusia 46 tahun turut melanggar hingga mati seorang warga emas berusia 61 tahun ketika melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata terdahulu lelaki terbabit yang memandu kereta jenis Myvi dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika melalui lampu isyarat antara Jalan P Ramlee dan Jalan Perak.

Katanya, dua anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut yang menaiki kereta peronda polis (MPV) kemudian menahan suspek namun lelaki terbabit melarikan diri.

"Ketika melalui Jalan Perak berhampiran pasar pagi, kereta dinaiki suspek melanggar seorang lelaki berusia 61 tahun yang sedang melintas jalan menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

"Suspek kemudian terus memecut keretanya melalui Jalan Van Praagh," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Soffian berkata, ketika melalui Jalan Batu Uban 2, suspek diarahkan supaya berhenti namun masih bertindak agresif bagi melarikan diri dan hampir melanggar anggota polis.

Tindakan itu memaksa anggota polis melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar kanan dan satu lagi ke arah hadapan kereta.

"Suspek berjaya ditangkap di lokasi kejadian dan tidak mengalami kecederaan manakala pemeriksaan pada badan suspek menemukan tiga paket dadah jenis heroin dengan anggaran berat 13 gram.

"Suspek dari Kampung Melayu, Ayer Itam itu, mempunyai masing-masing 16 rekod lampau berkait jenayah dan dadah manakala kereta yang digunakan pula didaftarkan atas nama sebuah syarikat kereta sewa yang beralamat Jalan Sungai Tiram, Bayan Lepas," katanya.

Mengenai suspek yang memakai jaket tertera logo pejabat perwakilan sebuah negara jiran, Soffian berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan/186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

Pemotong rumput berusia 46 tahun berjaya diberkas polis selepas bertindak agresif ketika melarikan diri daripada polis dalam kejadian di Jalan Batu Uban 2, di sini. Gambar kiri ialah kereta digunakan untuk melarikan diri - Foto NSTP/ IHSAN PDRM
Pemotong rumput berusia 46 tahun berjaya diberkas polis selepas bertindak agresif ketika melarikan diri daripada polis dalam kejadian di Jalan Batu Uban 2, di sini. Gambar kiri ialah kereta digunakan untuk melarikan diri - Foto NSTP/ IHSAN PDRM
Berita Harian X