Sabtu, 6 March 2021 | 11:46am

Kesan lebam ditemui pada mayat wanita ditembak suami

JOHOR BAHRU: Hasil bedah siasat ke atas mayat isteri yang ditembak suami menggunakan senapang angin, mendedahkan penemuan baharu termasuk kesan lebam di beberapa bahagian tubuh wanita malang berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Datuk Md Yusof Ahmad, berkata bedah siasat ke atas mayat mangsa selesai dijalankan, semalam.

Katanya, polis masih menanti laporan penuh hasil bedah siasat yang dijalankan itu dikeluarkan hospital.

"Laporan awal bedah siasat berkenaan mendedahkan kesan lebam di badan mangsa.

"Turut dikesan adalah beberapa butir logam timah dipercayai peluru dari senapang angin yang ditemui di beberapa bahagian badan termasuk dada dan perut kesan tembakan jarak dekat.

"Hospital juga akan mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) keluarga mangsa, berikutan mereka tidak dapat membuat pengecaman terhadap wanita berkenaan susulan keadaan mayat yang sudah membengkak.

"Proses pengambilan DNA akan dilakukan dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam media melaporkan, misteri kehilangan seorang isteri yang didakwa melarikan diri dari rumah akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui secara tragis dalam sebuah tong air yang tertanam di sebuah ladang serai, di Bandar Penawar, pagi kelmarin.

Lebih memilukan, suaminya berusia 43 tahun, menjadi suspek utama yang dipercayai menembak isterinya berusia 38 tahun, ketika wanita berkenaan sedang tidur di kediaman mereka di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, dilaporkan berkata kes berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu selain polis turut menemui surat tuntutan fasakh di kediaman berkenaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan senapang angin dirampas daripada suspek yang membunuh isterinya ketika sedang tidur pada sidang media di Ibu Pejabat Kontijen Polis Johor, kelmarin.- Foto NSTP/Zain Ahmed
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan senapang angin dirampas daripada suspek yang membunuh isterinya ketika sedang tidur pada sidang media di Ibu Pejabat Kontijen Polis Johor, kelmarin.- Foto NSTP/Zain Ahmed
Berita Harian X