Rabu, 24 Februari 2021 | 2:40pm
Pemandu Myvi bebas dengan jaminan polis
Pemandu Myvi bebas dengan jaminan polis

Pemandu Myvi bebas dengan jaminan polis

KUALA LUMPUR: Lelaki yang ditahan reman dua hari, disyaki memandu kereta Perodua Myvi secara melulu dan laju hingga merempuh dua kenderaan di Serdang kelmarin, dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at, berkata kertas siasatan kes itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, selepas semua keterangan individu berkaitan diambil.

"Pemeriksaan fizikal kenderaan terbabit juga akan dibuat.

"Kita mohon saksi ada rakaman 'dash-cam' berkaitan dan sebelum kemalangan itu berlaku supaya hubungi pegawai penyiasat (Inspektor Mohamad Syafiq Mohd Nasir di talian 012-9845477) untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata, sampel darah lelaki itu sudah diserahkan kepada Jabatan Kimia.

Katanya, pihaknya masih menunggu keputusan ujian darah itu yang dijangka mengambil sedikit masa.

"Sampel darah sudah diserahkan kepada pihak Jabatan Kimia. Kita masih tunggu lagi keputusan sampel darah berkenaan.

"Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan kemudian," katanya.

BH sebelum ini melaporkan, polis menahan seorang lelaki disyaki memandu kereta Perodua Myvi secara melulu dan laju hingga merempuh dua kenderaan di Jalan Bandar Kinrara 6F, Bandar Kinrara, dekat Serdang.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, pemandu kereta berusia 26 tahun berkenaan merempuh van dan Proton Waja mengakibatkan pemandu van cedera parah.

Pemandu Myvi itu dikatakan cuba melarikan diri tetapi ditahan orang awam yang kemudian menyerahkan kepada polis.

Rakaman video kemalangan yang tular di media sosial itu menunjukkan kereta Myvi terbabit dilihat dipandu laju dan turut hampir melanggar seorang penunggang motosikal.

Berita Harian X