Rabu, 24 Februari 2021 | 1:40pm
Semalam, polis menahan reman pemandu Myvi yang merempuh dua kenderaan dekat Bandar Kinrara, kelmarin. FOTO NSTP
Semalam, polis menahan reman pemandu Myvi yang merempuh dua kenderaan dekat Bandar Kinrara, kelmarin. FOTO NSTP

Polis tunggu keputusan sampel darah pemandu Myvi

KUALA LUMPUR: Sampel darah lelaki yang memandu PERODUA Myvi secara melulu dan laju di Serdang kelmarin, diserah kepada Jabatan Kimia.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at, berkata pihaknya masih menunggu keputusan ujian darah itu yang dijangka mengambil sedikit masa.

"Sampel darah itu sudah diserahkan kepada Jabatan Kimia. Kita masih tunggu lagi keputusan sampel darah berkenaan.

"Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan kemudian," katanya pada BH, hari ini.

Pemandu Myvi yang memandu secara melulu dan laju sebelum merempuh dua kenderaan lain di Jalan Bandar Kinrara 6F, Bandar Kinrara, Serdang, petang kelmarin, direman dua hari untuk membantu siasatan.

Lelaki berusia 26 tahun itu dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya semalam, sebelum mahkamah membenarkan reman selama dua hari ke atasnya.

Keputusan ujian saringan dadah dan alkohol ke atas lelaki itu dilaporkan negatif, namun ujian sampel darah suspek dilakukan sebagai langkah tambahan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, pemandu Myvi yang juga seorang pekerja swasta berasal dari Puchong, dikatakan cuba melarikan diri selepas merempuh van dan Proton Waja mengakibatkan pemandu van cedera parah.

Berita Harian X