Selasa, 23 Februari 2021 | 5:16pm
Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (kiri) hadir bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto fail NSTP
Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (kiri) hadir bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto fail NSTP

Keputusan Abdul Azeez batal tuduhan 12 Mac

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menetapkan 12 Mac ini untuk keputusan permohonan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bagi membatalkan 13 tuduhan menerima rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Hakim, Datuk Muhammad Jamil menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah Timbalan Pendakwa Raya, Aslinda Ahad dan peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Azeez.

Terdahulu, Amer Hamzah berhujah bahawa pertuduhan terhadap pemohon (Abdul Azeez) adalah defektik, mala fide dan bertentangan dengan polisi awam, selain bermotifkan politik.

Amer berkata, pertuduhan pertama mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah defektik kerana menggabung dan membabitkan empat projek yang berlainan dalam satu pertuduhan.

"Pertuduhan pindaan pertama hingga kesembilan gagal memperihalkan jumlah wang yang dinyatakan dalam pertuduhan itu, tiada tarikh spesifik, menggabungkan kesalahan yang berbeza dalam satu pertuduhan dan hanya menyatakan lokasi secara am.

"Semua pertuduhan pengubahan wang haram gagal menyatakan kesalahan prediket yang terjumlah kepada aktiviti haram," katanya.

Bagaimanapun, Aslinda kemudian membantah permohonan Abdul Azeez untuk membatalkan semua pertuduhan yang dihadapinya kerana ia tidak berasas dan pra matang.

Katanya, perbicaraan kes itu sudah bermula di Mahkamah Sesyen dengan pihak pendakwaan memanggil lima saksi untuk memberi keterangan.

"Walaupun saksi yang dipanggil adalah saksi formal, namun mereka mempunyai keterangan masing-masing.

"Hujahan pembelaan juga seolah-olah perbicaraan selesai pada akhir kes pendakwaan," katanya.

Aslinda berkata pertuduhan juga jelas menyatakan bagaimana pemohon melakukan kesalahan secara rasuah dengan menerima suatu suapan pada tarikh dan tempat.

"Penggabungan membabitkan empat projek yang berlainan dalam suatu pertuduhan mengikut Akta SPRM, tidak menjadikan pertuduhan berkenaan cacat," katanya.

Abdul Azeez, 54, yang juga Ahli Parlimen Baling menghadapi tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram mencecah jutaan ringgit.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama seksyen 16(a)(A) dan seksyen 24(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Berita Harian X