Selasa, 23 Februari 2021 | 2:14pm
Seorang pemandu yang berusia 26 tahun (dua dari kiri) ditahan oleh anggota polis selepas memandu kereta Perodua Myvi secara melulu dan laju hingga merempuh dua kenderaan di Jalan Bandar Kinrara 6F, Bandar Kinrara, dekat Serdang petang semalam dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk tahanan reman. - NSTP/Aizuddin Saad
Seorang pemandu yang berusia 26 tahun (dua dari kiri) ditahan oleh anggota polis selepas memandu kereta Perodua Myvi secara melulu dan laju hingga merempuh dua kenderaan di Jalan Bandar Kinrara 6F, Bandar Kinrara, dekat Serdang petang semalam dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk tahanan reman. - NSTP/Aizuddin Saad

Pemandu Myvi rempuh van direman dua hari

KUALA LUMPUR: Pemandu PERODUA Myvi yang memandu secara melulu dan laju sebelum merempuh dua kenderaan lain di Jalan Bandar Kinrara 6F, Bandar Kinrara, Serdang dekat sini, petang semalam, direman dua hari untuk membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at, berkata lelaki berusia 26 tahun dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya pagi tadi, sebelum mahkamah membenarkan reman selama dua hari ke atasnya.

"Setakat ini keputusan ujian saringan dadah dan alkohol yang dijalankan ke atas lelaki itu negatif, namun ujian lanjut ke atas sampel darah suspek akan dilakukan untuk ujian tambahan.

"Semua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu akan dihantar untuk pemeriksaan oleh pakar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman berkata, saksi bebas terutama yang memiliki rakaman 'dash-cam' berkaitan kemalangan itu diminta untuk tampil membantu siasatan polis.

"Saksi boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Syafiq Mohd Nasir di talian 012-9845477 untuk menyalurkan maklumat.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes diklasifiksikan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya lagi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, pemandu Myvi yang juga seorang pekerja swasta berasal dari Puchong, dikatakan cuba melarikan diri selepas merempuh van dan Proton Waja mengakibatkan pemandu van cedera parah.

Keadaan kereta Myvi dan van yang terbabit dalam kemalangan di Bandar Kirara, semalam.
Keadaan kereta Myvi dan van yang terbabit dalam kemalangan di Bandar Kirara, semalam.

Insiden kemalangan itu terakam oleh kamera 'dash-cam' sebuah kenderaan lain sebelum rakaman video itu viral di media sosial, semalam.

Rakaman video kemalangan itu menunjukkan kereta Myvi terbabit dilihat dipandu laju dan turut hampir melanggar seorang penunggang motosikal.

Akibat rempuhan kuat, van berkenaan terbabas dan terbalik di sebelah kiri jalan, manakala PROTON Waja terbabas ke lorong kanan di laluan dua lorong berkenaan.

Terdahulu, Azman dilaporkan berkata pemandu van yang belum dapat dikenal pasti identitinya dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

"Pemandu Myvi itu dikatakan cuba melarikan diri dan ditahan orang awam yang kemudian diserahkan kepada polis.

"Lelaki itu dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan susulan," katanya.

Katanya, pemandu PROTON Waja berusia 30 tahun hanya cedera ringan dan sudah dibenarkan keluar daripada hospital.

Berita Harian X